Monday, October 7, 2013

SABAH

Assalammualaikum

Kadang-kadang memulakan sesuatu adalah  perkara yang amat payah dan memenatkan. Apatah lagi ianya adalah satu permulaan untuk segalanya. Satu kehidupan baru yang belum pernah ditempuhi. Satu cara baru yang tidak pernah ditangani sebelum ini. Pabila disebut memang mudah, tapi berat lagi bahu insan yang memikul. Serba payah.

Alhamdulillah, saya telah selamat menjejakkan kaki ke Kota Kinabalu. Tepat jam 9 malam 5 September 2013. Ia satu tarikh penting bagi saya. Tarikh saya memulakan sesuatu yang baru.

Untuk pengetahuan mungkin pada yang ingin tahu, saya telah ditempatkan ke Sabah untuk memulakan kehidupan baru sebagai penjawat awam berstatus tetap. Sempat juga berbulan madu selama lebih kurang 5 bulan memegang status kontrak yang kurang serba serbi dan tidak boleh itu ini.

Syukur pada Tuhan atas rezeki yang melimpah ruah ini. Saya anggap satu pengalaman segar nan berharga. Belum pernah terlintas di fikiran saya akan dihantar sejauh ini. Namun takdir itu yang menentukan. Saya kini berlapang dada dan menerima sudah segalanya dengan hati terbuka.





Inilah kehidupan baru saya. Telah saya jalani kurang sebulan ini. Saya jujur katakan saya senang hati tetapi belum gembira. Mungkin angin gembira masih tersangkut di Banjaran Titiwangsa. Belum tiba bersama tuan punya diri ke Negeri Di Bawah Bayu

Wassalam.

*Caption gambar dari kawasan Kota Belud. Berdekatan Kem PKLN Sinar Jaya.


1 comment: