Tuesday, January 1, 2013

SAMBUTAN TAHUN BARU 2013 DI KLCC

Assalammualaikum

SELAMAT TAHUN BARU 2013

Bagi sesetengah orang, tahun baru adalah satu tarikh keramat yang sangat ditunggu-tunggu. sepertinya tahun yang sudah pun berakhir hanya semalam cuma kerana ia adalah tahun yang sudah jauh ditinggalkan, dibuang terus dan dilupakan dalam-dalam di dalam lubuk hati sanubari.

Ada juga orang yang beranggapan bahawa tahun baru yang muncul adalah sekadar pearalihan satu hari yang tidak berapa signifikan. Hanyalah perubahan hari dari Isnin ke Selasa. tiada apa yang perlu dihebahkan sangat dan semuanya hanyalah perjalanan hidup yang biasa

Seperti layaknya seorang manusia, haruslah mempunyai pandangan sendiri yang subjektif dan tidak ada istilah salah betul di dalam pandangan ini. semua berhak memberikan pendapat masing-masing dan kita raikan juga semua pendapat itu dengan pintu hati terbuka dan tidak memandang serong.

sekian mukaddimah yang tiada kaitan dengan isi seterusnya,

saya ingin bercerita kali ini cara sambutan tahun baru saya. Tahun 2013 di mana tahun pertama saya hadir ke majlis sambutan tahun baru. selama ini selama 24 tahun saya hidup, tahun baru hanyalah dihabiskan di rumah menonton televisyen, sedikit terkejut dengan dentuman bunga api dan seterusnya melayan raksasa yang mengejar di alam mimpi.

tahun ini berlainan kerana saya menyambutnya di KLCC. Ya, di Menara Berkembar Petronas.

sebelum masing-masing dari anda membuat kesimpulan sendiri, teruslah saya menjelaskan bahawa saya menyambutnya di perkarangan Masjid Asy-Syakirin KLCC. Sambutan ini telah dianjurkan oleh Radio IKIM.FM dengan kerjasama beberapa badan organisasi Islam di Malaysia. Gambar di bawah mungkin boleh memberikan pencerahan:

602730_542944979048905_144772201_n

Alhamdulillah, ini adalah sambutan tahun baru terbaik pernah saya sertai, malam yang saya kira penuh dengan barakah kerana dihiasi dengan alunan Nasyid oleh artis nasyid tempatan diselang selikan pula dengan pengisian agama menceritakan Sirah Baginda junjungan teragung.

Paling terbaik adalah, di kala waktu puncak mengira ketibaan tahun baru 2013, kami tidak menyebut 10,9,8 dan seterusnya tetapi menyebut ALLAH, ALLAH, ALLAH sehinggalah ke saat yang tearkhir semua hadirin bertakbir memuji yang Maha Esa. Allahuakbar. Ia umpama saat indah yang tidak mampu dilupakan kerana di kala satu lagi sambutan berdekatan yang berteriak sakan menjerit HAPPY NEW YEAR, kami semua telah menadah tangan memohon keampunan dan pertolongan dari tuhan pentadbir sekalian alam

Doa yang dibaca pula sangat meruntun kalbu dan mengingatkan bahawa teramatlah jauh terpesong HambaMu di dunia ini mengejar kenikmatan dunia. terasa seperti roboh segala benteng ego dan sombong yang sekian lama beraja di sanubari sehinggakan saya terlihat ramai yang mengalirkan air mata dan menahan sebak.

Ia adalah momen yang saya tidak akan lupakan sampai bila-bila

Seusai doa tersebut kami bersama-sama berselawat ke atas nabi dan akhirnya majlis bersurai menuju keperluan masing-masing. saya sertakan beberapa gambar untuk santapan mata. kebanyakannya tidak jelas kerana saya tidak mahir mengambil gambar pada waktu malam.

20130101_00073920130101_00080520130101_00081520130101_00082620130101_00200520130101_002021

Semoga ini adalah satu mukaddimah yang baik untuk satu tahun yang baru dijejaki. Banyak lagi pancaroba dan dugaan yang harus diredah dan begitu melimpah rahmat dan kasih sayang Allah yang bakal tercurah. Banyak juga lagi impian yang ingin dicapai dan begitu murah juga rezeki dan pertolongan yang Allah berikan. Siapakah lagi kita untuk tidak mahu bersyukur?

Perjalanan pulang dari masjid menuju ke tempat letak kereta pula adalah cerita kedua yang sangat menakutkan, menyedihkan, menimbulkan rasa benci di balik simpati dan tidak terkata. saya menjadi saksi betapa menyedihkan anak muda Malaysia meraikan tahun baru. seperti terbayang masa depan negara yang kian kabur.

Wassalam

No comments:

Post a Comment