Wednesday, October 3, 2012

BUKU OKTOBER

Assalammualaikum

 

Alhamdulillah

 

20121003_204051

 

Buku yang dipesan semalam telah pun tiba hari ini dengan selamatnya. Dibungkus dengan elok dan rapi dan dilampirkan bersama sekeping penanda buku comel bewarna hijau yang tertulis sebaris kata yang mendalam maknanya

 

“Sebuah kamar tanpa buku ibarat tubuh tanpa jiwa”

 

Aduhai, menusuk kalbu sungguh baris kata ini bagi saya. Bayangkan sekiranya kata-kata ini sangat relevan pada zaman sekarang, alamatnya banyaklah tubuh manusia yang hidup tidak berjiwa dan menjalani kehidupan sehari-hari semata-mata kerana rutin penerusan kehidupan.

 

Bagi saya sendiri, kata-kata ini amat tepat dan tidak boleh tidak untuk disangkal. Kita dapat lihat bagaimana sifat, perangai dan kelakuan manusia yang hidupnya penuh dengan amalan membaca berbanding dengan manusia yang hidupnya langsung tidak membaca.

 

Manusia yang membaca lidahnya akan sentiasa bercakap perkara yang berilmu dan terpandu pula dengan fakta dan bukti yang sahih.

 

Mindanya sentiasa bergerak untuk meneroka sesuatu yang baru dan seterusnya membina jaringan pengetahuan yang tidak bersempadan.

 

Hatinya pula selalu menginginkan kebenaran dan menolak kepalsuan. Menerima kebenaran berlandaskan jaringan pengetahuan yang dibina dan menolak kepalsuan dengan fakta yang meruntuh dan meroboh.

 

Matanya meliar dari hujung helaian kiri ke hujung helaian kanan bersama debaran di hati mengakhiri pembacaan dan akhirnya mendapat tingkat kepuasan yang terkesan.

 

Pabila berjalan pula, kakinya cepat melangkah ke toko buku walaupun poket sedang ketandusan peruntukan. Dapat memegang dan melihat sedikit-sedikit cukuplah sekiranya tidak mampu membeli.

 

Inilah definisi ulat buku sebenar mengikut pandangan kaca mata saya ini. Tidak lebih dan tidak kurang. Tetapi sekiranya diikut betul, saya belum lagi memenuhi spesifikasi ulat buku seperti yang saya tetapkan sendiri.

 

Alasan biasa, manusia selalu tidak sempurna kerana ruang untuk menambahbaik tidak pernah akan penuh.

 

Nota 1: Buku di atas dipesan melalui Ujana Ilmu. Perkhidmatan Buku Online terbaik yang pernah saya gunakan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...