Thursday, July 26, 2012

KITA BINA HIDUP INI



Assalammualaikum dan Salam Ramadhan

Semoga sahabat sekalian sentiasa berada di bawah lembayung Rahmat Allah. Selamat berpuasa dan semoga puasa kita pada hari ini dan hari seterusnya diberi ganjaran yang besar di sisiNya.

Semalam ketika baru pulang dari masjid bersolat terawih, telinga dan hati saya tertancap pada puisi ini. Diperdengarkan di Radio IKIM.FM. puisinya cukup mudah dan tidak berlebihan. sesuai dengan isinya sendiri yang ingin  membawa manusia supaya sentiasa bersifat berkecukupan dan bersyukur dengan segala apa yang telah diterima. 

walau sedikit wajiblah bersyukur apatah lagi banyak juga wajib untuk bersyukur. alangkah tidak dikurniakan apa-apa pun kita harus kita sentiasa bersyukur. semoga sifat sentiasa memanjatkan kesyukuran ini tertanam di hati kita semua dan subur mewangi lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Silakan menjadi halwa hati dan minda anda untuk hari ini dan seterusnya. Walaupun kita berpuasa fizikal mengelakkan diri daripada makan dan minum juga dengan perkara yang membatalkan puasa, kita tetap tidak akan membiarkan hati dan akal untuk berpuasa daripada menerima hidangan lazat, sedap dan harum supaya ia sentiasa kekal sihat sepanjang masa. Anda sendiri sedia maklum apakah makanan untuk hati itu kan? 

Sesungguhnya berpuasa itu adalah satu keajaiban.

Kita bina hidup ini
dengan kecukupan bukan dengan kelebihan
dengan kejayaan bukan dengan kecemerlangan
dengan kemudahan bukan dengan kesenangan
dengan keperluan bukan dengan kemahuan
dengan kebaikan bukan dengan kesempurnaan
dengan kekayaan bukan dengan kemewahan
dengan kesediaan bukan dengan ketahuan.

Kita bina hidup ini
bukan dengan manisnya janji tapi dengan pahitnya mengotakannya
bukan dengan indahnya kata tapi dengan sukarnya menyuarakannya
bukan dengan tingginya darjat tapi dengan payahnya memikulnya
bukan dengan banyaknya ilmu tapi dengan kurangnya mendiamkannya
bukan dengan panjangnya nyawa tapi dengan pendeknya mensia-siakannya.

Kita bina hidup ini
dengan mimpi menjadi nyata bukan dengan nyata bertukar mimpi
dengan angan menjadi cita bukan dengan cita bertukar angan
dengan beri menjadi jujur bukan dengan jujur bertukar beri
dengan nokhtah menjadi langkah bukan dengan langkah bertukar nokhtah.

Kita bina hidup ini
bukan untuk terus hidup
tapi untuk hidup seterusnya.


( Mustafa Shamsuddin, Amman Jordan
Berita Minggu, 14 Feb 2010 }

No comments:

Post a Comment