Sunday, April 22, 2012

CENDERAHATI

Assalammualaikum

Bukan mudah untuk mendirikan rumah tangga. bukan mudah juga untuk mengekalkan kebahagiaan rumah tangga yang terbina. kalau tangganya roboh, habislah tuan rumah tidak boleh masuk. jika rumahnya pula roboh, habislah tuan rumah dan segala isinya ikut binasa

bukan mudah juga mempersiapkan diri untuk berumah tangga. pelbagai ilmu perlu dipelajari. banyak fulus perlu dicari. banyak juga karenah pasangan yang perlu diladeni.

bukan mudah juga untuk menggembirakan hati tetamu yang hadir semasa upacara mendirikan rumah tangga. banyak kotak yang perlu dibuka. banyak reben yang perlu diikat. banyak renda yang perlu ditampal. banyak juga stiker TERIMA KASIH yang perlu dilekat.

sekian begitulah alkisahnya pabila sahabat semua melihat gambar di bawah
persiapan menyediakan cenderahati, cenderamata atau goodies kepada tetamu yang hadir

Bermula seperti di bawah

C360_2012-04-15-00-17-12

dihias dengan pelbagai perkara dan jadilah seperti di bawah:

C360_2012-04-15-00-04-37

kemudian dikumpulkan rapat-rapat seperti dibawah

C360_2012-04-15-00-05-46

dan akhir sekali dikumpul secara pukal supaya mudah untuk dikira dan disimpan seperti dibawah

C360_2012-04-15-01-23-54

semuanya dibuat sendiri oleh ahli keluarga dan sanak saudara saya yang rajin dan kreatif semuanya. termasuklah saya. *senyum bangga*

maka jumlah yang perlu dibuat ada 3000 semuanya!!!

sekian

sebelum ada yang bertanya, suka untuk saya maklumkan bahawa cenderahati ini adalah untuk tetamu sebagai tanda kenang-kenangan bersempena majlis walimatulurus kakak kedua saya yang Insyaallah akan berlangsung akhir bulan May

semoga semuanya berjalan lancar. AMIN

Saturday, April 14, 2012

REVIU BUKU : KELABU

Assalammualaikum
Untuk tahun 2012, saya tidak meletakkan apa-apa sasaran jumlah buku untuk disudahkan bacaan. cukuplah saya gagal dua tahun berturut-turut mencapai cita-cita 50 buku untuk setahun.

seperti putus asa.

tidak sama sekali kerana saya sedang cuba untuk menjadi relevan dengan masa.

cuba untuk memutuskan bahawa saya harus membaca semata-mata kerana ia memang adalah satu kegilaan dan saya mendapat sesuatu daripadanya. bukan kerana mengejar nombor.

baiklah. terus berbalik kepada tajuk entri ini. sekian untuk diucapkan bahawa saya terlebih rajin untuk menulis reviu untuk buku ini kerana saya kira ia amat menakjubkan (baca; awesome). menakjubkan dalam pelbagai aspek yang saya tidak sangka-sangka.

bayangkan apabila anda sedang asyik menonton televisyen drama swasta TV3 setiap jam 6.30 petang dengan tiba-tiba ade seekor ular sawa sebesar lengan bapa anda melingkar di kaki yang sedang berhayun-hayun tanda sedang berehat-rehat di petang hari

begitulah layaknya kejutan yang terjadi di dalam novel ini. maafkan sekiranya saya terlebih berimaginasi. saya tidak berapa pandai memberi bayangan secara visual

C360_2012-04-14-13-14-50

saya tidak mahu menulis sinopsis untuk novel ini kerana saya kira ia akan menjadi spoiler untuk anda yang belum membaca. anda harus beli sendiri (jangan pinjam) dan rasai sendiri apa yang telah saya alami. baik, ini bukan iklan taman tema Sunway Lagoon.

bagi saya jalan cerita ini telah disusun dengan baik oleh penulis. ia pastinya disusun secara sistematik tetapi mempunyai unsur dramatik yang sukar untuk pembaca meneka. penulis bijak menggunakan tema yang tidak selalu diangkat dalam mana-mana novel tetapi sengaja merahsiakan tema tersebut sejak dari awal. ia adalah satu konsep yang sangat mengujakan kerana membaca novel yang sudah diketahui rentak dan iramanya sejak dari awal adalah ibarat ‘memandu pulang ke rumah’. sudah tahu arah tuju dan destinasi

saya sudah lama meninggalkan novel cinta. kali terakhir adalah semasa berada di Tingkatan 5 (mungkin). maksud novel cinta mengikut kamus hidup saya adalah seperti Ombak Rindu, Gemersik Kalbu dan seperti juga novel-novel lain yang seangkatan dengannya.

Mudahnya Novel ALaf 21.

Tetapi, Kelabu adalah novel CINTA bagi saya. novel cinta yang sangat-sangat-sangat berbeza dengan mana-mana novel yang pernah saya baca sebelum ini.

ia tidak klise. mudah difahami. terurus dan teratur. paling penting adalah tidak membawa pembaca terlalu dibuai perasaan. ia adalah satu kenyataan hidup yang benar boleh berlaku tetapi berdasarkan akal waras saya manusia biasa, ia adalah mustahil. sememangnya ‘golongan’ seperti ini memang wujud. sehingga ada kempen yang berani untuk membawa ‘golongan’ ini mendapat hak yang sepatutnya tidak didapati.

anda ingin tahu golongan apa? pergi beli KELABU sekarang. klu nya adalah golongan yang melanggar fitrah hidup. (saya memang tidak pandai sekali membuat kejutan seperti Nadia Khan, sekarang anda sudah pun boleh agak)

saya memang menitikberatkan kelestarian bahasa ketika membaca buku. sekiranya novel itu adalah novel berbahasa melayu. biarkan bahasa ibunda itu sepenuhnya mengikat bait perkataan menjadi ayat. sekiranya ia adalah bahasa barat. maka ia tidak akan menjadi masalah. (pernah baca novel bahasa inggeris dicampur dengan bahasa melayu?). saya akan menganggap novel campuran bahasa adalah rojak dan tidak patut. lebih-lebih lagi pabila menggunakan bahasa pasar. saya tidak terima

ajaibnya, untuk novel KELABU saya memberi pengecualian. anggaplah saya seorang yang tidak tetap pendirian. mesej yang disampaikan saya kira cukup banyak dan bermakna untuk diberi pengecualian ini. cerita yang disampaikan sarat dengan iktibar dan pengajaran yang bukan diterjemah secara terus. ada dakwah yang terselit dan ia boleh jadi satu perkara yang menginsafkan.

C360_2012-04-14-12-52-51

ia sangat kecil tapi signifikan

banyak juga perkara lain yang saya baca daripada buku ini. maksud saya kehidupan orang lain. bagaimana kehidupan manusia yang bergelumang dengan dunia fotografi, modelling, perfileman dan juga suasana kampung yang mendamaikan. semuanya diadun dengan cukup baik untuk memberikan rencah cerita yang cukup rasa dan sedap dihadam. paling baik adalah mendalami naluri golongan itu yang sangat bertentangan. saya kira terjadinya naluri itu bukan sahaja atas dasar pengaruh kawan ataupun persekitaran. keluarga dan latar belakang kehidupan perlu diambil kira. jangan meminggirkan kerana mereka juga mangsa keadaan. dekati dan hayati perasaan mereka supaya mudah untuk dibawa ke pangkal jalan.

cukuplah sekadar di sini sahaja. saya sedar dan percaya sepanjang mana pun saya menulis tetapi anda tidak mendapatkan sendiri untuk membaca, tiadalah guna walau seposen pun. lagipun saya percaya lagi yakin bahawa tiadalah ramai orang yang mahu membaca reviu saya yang sangat tidak seberapa ini.

arakian, kepada Nadia Khan, saya kan menunggu karya terbaru kamu. saya mahu tahu siapa lelaki yang muncul di muka pintu itu sesungguhnya.

Friday, April 13, 2012

SEBUAH KEPUTUSAN

Assalammualaikum dan Salam Jumaat

banyak perkara yang berlaku minggu ini. perkara yang mewarnai perjalanan hidup saya. perjalanan hidup yang tidak berapa bewarna warni tetapi tetap ada pelbagai warna yang menyeri

semoga setiap satunya memberikan kematangan dalam hidup. bukan mudah untuk buat satu keputusan yang besar. lebih-lebih lagi melibatkan masa depan dan arah tuju. namun, saya sedar saya harus menuju satu proses kematangan yang sebenar. keputusan harus dibuat sendiri dan rasional yang diberikan bukan semata-mata untuk menyedapkan hati atau menyedapkan telinga

ia suatu yang harus menjanjikan

sekarang, saya serahkan kepada masa untuk menentukan. semoga warna yang segar dan cerah dapat dihasilkan. tidak perlu pelangi kerana ia sempurna.

cukuplah sekadar secukupnya

20120410_163838

senyumlah kerana ia menenangkan. kan ku kenang dirimu dalam doaku

salam pengulu segala hari

Saturday, April 7, 2012

MENGAPA FAIL DIWUJUDKAN

Terima kasih banyak-banyak kepada pencipta fail


Kerana jasamu banyak kertas berlambak dan berterabur boleh disimpan disusun dan dijilid dengan cantik dan kemas


Terima kasih banyak banyak


Kerana semakin banyak jugaklah kerja yang perlu dilakukan


Semuanya kerana kewujudan Fail!


Sekian


Published with Blogger-droid v2.0.2

Wednesday, April 4, 2012

MALAM TIADA BERBINTANG

sudah masuk bulan April

dan segala-galanya akan berubah

doakan perubahan ini membawa kepada seribu satu hikmah yang indah dan mengujakan

dan saya harus sedar juga

langit bukan selalu cerah

harus bersedia bila-bila masa pabila ia mula menampakkan tanda mendung

malam juga ada kalanya tiada berbintang

bukankah ianya satu petanda bahawa bukan semua perkara harus betul dan sempurna sepanjang masa?

saya nantikan ketidaksempurnaan itu

kerana ia adalah satu langkah menuju satu cahaya terang di hadapan

walaupun malam itu tiada berbintang

pasti ada satu cahaya yang sering tidak jemu menemani

itu saya pasti