Friday, November 25, 2011

REVIU NOVEL: MENUNGGU CINTA TUHAN

Ini adalah novel kedua yang telah membuatkan saya mengorbankan waktu tidur malam untuk menghabiskan semua halaman semata-mata untuk mengetahui apa yang terjadi bab terakhir. mata dan minda saya tertancap di novel ini dari malam sehingga menjelang subuh!!! anda tidak percaya??saya pun tidak percaya. namun itulah hakikatnya. novel pertama yang pernah membuatkan saya menjadi seperti ini adalah Harry Potter and Half Blood Prince.


Novel ini mempunyai penceritaan yang luar biasa dan amat unik. saya belum pernah membaca karya seperti ini. menceritakan bagaimana seorang graduan jurusan Syariah melayar bahtera ilmunya di lautan kewartawanan hiburan yang amat bertentangan dengan ijazah yang dimiliki. terlalu berani untuk menghadapi cabaran tetapi terlalu takut dengan Bos yang ganas seperti harimau gila. namun dengan ketakutan dan keberanian yang dimiliki membuahkan fikiran yang baik untuk ruangan hiburan yang dikendalikannya. bijak menukar wacana hiburan yang selalunya bersifat fitnah kepada suatu yang boleh dijadikan teladan dan sempadan. saya pastinya tabik spring pada wartawan ini sekiranya beliau hidup di dunia nyata.


saya juga kagum dengan cara penulis (Lily Haslina Nasir) yang bijak meletakkan konsep sihir dan kepercayaan karut marut yang masih lagi dipegang oleh masayarakat tempatan walaupun hidup di arus pemodenan. penceritaan bagaimana balasan seorang yang banyak melakukan maksiat dunia juga disisipkan dengan baik dan boleh memberi pengajaran yang berkesan kepada pembaca.


saya tidak mahu mengulas banyak kerana saya pun tidak bijak mengulas. namun saya cadangkan kepada anda agar memiliki novel ini. ia bukan novel cinta Islami biasa yang semakin memenuhi pasaran sekarang. ia adalah novel yang membuka akal fikiran bahawa siapa pun kita di dunia ini, kaya atau miskin, senang atau susah, baik atau jahat, pasti menerima balasan baik dan buruk dari yang maha esa. maka segala persiapan harus dilakukan dengan sewajarnya. jangan sudah terhantuk baru terngadah sepertimana yang berlaku di akhir novel ini.

No comments:

Post a Comment