Friday, November 25, 2011

REVIU NOVEL: CINTA SUFI

Assalammualaikum

sudah lama rasanya tidak menulis sebarang ulasan buku di dalam blog ter’chenta’ ini. Lantaran sedar diri ini bukanlah pandai sangat pun menulis dan tiada ramai orang pun yang ingin membaca penulisan ini (akhirnya kau sedar Syamil. good for you).

Tapi walaubagaimanapun, saya tetap ingin berkongsi juga serba sedikit berkenaan novel yang telah saya habisi baru-baru ini. Mungkin anda yang membaca kiriman ini tidak pun merasakan ia adalah sebuah ulasan buku. Tapi lebih kepada pandangan dan pendapat saya berkenaan buku ini (apa yang aku ngomel berbelit-belit ni)

Oklah.back to the story. Saya memang gemar mengikuti novel sekuel yang berjaya menarik minat saya sedari novel yang pertama. Seperti novel Harry Potter, apabila Harry Potter and the Sorcerer’s Stone berjaya membuatkan saya tidak tidur hingga subuh untuk menghabiskannya, maka secara automatis saya akan berusaha untuk membaca novel sambungannya iaitu Harry Potter and the Chamber of Secret.

Arakian, perakara yang sama terjadi untuk Novel Cinta Sufi. Kepada mereka yang tidak biasa dengan buah tangan Ramlee Awang Murshid. Biarlah saya terangkan serba sedikit di sini :
  • Novel Cinta Sufi adalah novel keempat untuk sekual Bagaikan Puteri
  • Novel yang pertama untuk sekuel ini adalah Bagaikan Puteri diikuti dengan Cinta Sang Ratu dan seterusnya Hijab Sang Pencipta
  • Kesemuanya dijual dengan harga berpatutan
  • Mudah didapati di Popular, tidak di MPH
  • Ceritanya bersifat adventur, islamik, penuh dengan magis, perlukan imaginasi yang tinggi dan keimanan yang teguh kepada rukun Iman yang ke 6
Saya kira novel yang keempat ini lebih realistik daripada novel-novel yang terdahulu. Mengisahkan Laksamana Sunan@Saifudin yang telah kembali semula ke zaman asalnya selepas mengembara merentas masa ke abad 21. Berikutan daripada pengembaraan mustahil yang diizinkan Allah Taala itu, maka Saifudin telah menerima kesan sampingan yang amat menderitakan kudratnya. Sebahagian kudratnya sebagai seorang pahlawan yang ampuh melawan kejahatan telah hilang dan menjadikan beliau lemah untuk menghadapi pelbagai perkara.

Penceritaan ini diteruskan pula dengan pelayaran bersejarah seorang balu bangawan portugal iaitu Yang Mulia Catalina ke Melaka untuk mencari seorang wanita bernama Maryam yang kerap menghiasi mimpinya. Mimpi bertemu Maryam itu berlaku sejurus selepas Catalina pengsan apabila diberitakan kematian suami tercinta, Aryas de Lopo di medan peperangan.

Oleh kerana terlalu kecewa, Catalina mengambil keputusan melakukan perjalanan panjang menuju Nusantara untuk menjejak Maryam yang menjanjikan sebuah kehidupan yang lebih baik dan bersih dari belenggu kekafiran. Penceritaan diteruskan dengan Catalina berjumpa dengan Saifudin dan membawa pula kepada perjalanan ke Hulu Melaka untuk berjumpa Maryam. Dibantu oleh Saifudin.

Pelbagai cabaran, rintangan, onak, dan kejahatan terpaksa dirempuh oleh mereka sepanjang perjalanan ke Hulu Melaka. Antaranya kejahatan Iblis Laknatullah yang terdiri daripada roh manusia yang derhaka pada Sultan, sihir Puteri Kober Gandring dan juga yang paling sukar adalah kedurjanaan Thaghut. Semuanya dirempuh oleh Saifuddin dengan sifat berserah diri pada Allah dan cintakan Syahid.

Banyak juga babak menarik yang amat saya gemari di dalam novel ini, antaranya :
  • Kemunculan Bangsa Polip (makhluk berupa manusia tetapi mampu terbang selaju angin)~membantu menyembuhkan penderitaan Saifudin.
  • Kehadiran Puteri Gunung Ledang membantu Saifudin memberikan arah (turut membantu mencari Keris Nanggroe kepunyaan Saifudin)
  • Kemunculan semula Laksmana Hang Tuah dan dua ekor naga peliharaannya (pemberian Maharaja China)
Saya ada juga mengatakan novel ini lebih realistik berbanding novel sebelumnya kerana kelemahan Saifudin sebagai seorang manusia biasa dipaparkan dengan baik. Sebelum ini, sifat dan kekuatan Saifudin digambarkan sebagai terlalu sempurna bak malaikat. Mungkin penulis menerima banyak komen dari pembaca berkenaan perkara tersebut.

Sesungguhnya, terlalu banyak pengajaran yang boleh didapati melalui novel ini. Banyak ayat-ayat suci Al-Quran berjaya dinukilkan dengan baik untuk meningkatkan pemahaman pembaca. Unsur dakwah yang diselitkan juga amat manis dan menggambarkan Islam bukanlah agama paksaan dan jauh sekali untuk bersifat teroris. Sifat Saifudin yang sentiasa bertimbang rasa dalam melakukan apa sahaja amat saya kagumi tanpa mengenepikan syariat Islam yang kekal dipegang utuh.

Saya pasti ramai yang telah terpikat dengan novel ini. Anda yang belum berkesempatan juga diharapkan dapat mendapatkannya kerana anda tidak akan sesekali rugi (sekali lagi saya rasa boleh bekerja di bahagian promosi Alaf 21). Setakat ini sahaja resensi saya (saya rasa ini langsung tidak boleh dikatakan sebagai resensi).

Sebagai manusia aku sayang padamu
~Laksamana Sunan~














2 comments:

  1. Saya ada hampir 7 buah buku Karya Ramlee Awang Murshid..haha. Tapi kawan saya punya, dan saya tak habis baca lagi..^__^

    ReplyDelete
  2. cinta sufi dan tjk strsnya x bce pun lg...
    br bce smpi hijab sang pencinta je...

    ReplyDelete