Monday, November 28, 2011

REVIU NOVEL: BIMASAKTI MENARI


Assalammualaikum

sudah lama tidak mereviu buku. terlalu banyak buku yang perlu dibaca, terlalu sedikit masa untuk membaca dan seterusnya masa untuk mereviu buku seakan tiada langsung. sekadar alasan untuk orang yang malas seperti saya. sesungguhnya masa yang diperuntukkan Allah sama banyak sahaja kepada setiap makhluk dan ciptaan di muka bumi ini. tidak lebih tidak kurang.

baiklah, tanpa melengahkan masa yang sepertinya selalu dilakukan oleh saya. akan kita terus kepada titik penting entri ini ditulis. tidak lain tidak bukan untuk mereviu buku yang baru sahaja usai saya habiskan pembacaan. segala maklumat dan ilmu yang daripada buku ini juga masih segar di ingatan dan mudah-mudahan terus melekat di kotak minda selama yang mungkin.

sebelum meneruskan pembacaan, sila persetankan gaya penulisan saya yang bercelaru dan tidak semenggah ini. saya tiada bakat menulis. menulis di sini kerana sekadar mengada-ngada. tujuan utama adalah untuk berkongsi dengan anda nutrisi penting dan zat-zat berkhasiat yang terkandung di dalam buku ini untuk manfaat bersama.

Tajuk buku ini pastinya sudah memikat hati saya. Bima Sakti Menari. dengan tajuk ini saya terus membayangkan keindahan angkasa lepas dan seluruh ciptaan seisi Langit Allah Taala yang tidak tolok bandingnya. keindahan yang hanya dapat dicapai kenikmatannya dengan mempertambahkan ilmu pengetahuan dan menokok penyelidikan supaya kesyukuran atas ciptaan ini dapat dipanjat seluruh manusia sejagat

Inilah yang ingin dicapai oleh Bima Sakti Menari

novel ini berkisar tentang Nurul Hafsa, seorang gadis graduan Universiti Jordan di dalam bidang Astronomi dan Kaji Falak. bertugas di Balai Cerap Kuala Selangor sebaik sahaja menamatkan pengajian. Nurul Hafsa pada hari pertama bekerja telah mengecewakan pelancong kanak-kanak dari Jepun yang berkunjung ke Balai Cerap semata-mata untuk menyaksikan bintang-bintang indah yang membentuk buruj di langit.beliau merasa mengecewakan para cilik tersebut kerana bintang yang diharapkan tidak muncul kerana disembunyikan langit yang terlalu terang dek PENCEMARAN CAHAYA yang berlaku di Kuala Selangor
pendapat saya, ini adalah tema unggul buku ini yang ingin diangkat penulis. PENCEMARAN CAHAYA. tema yang sangat unik dan jarang dicuba oleh penulis lain. tidak hairan Sri Rahayu berjaya menggondol tempat pertama dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan untuk buku ini.

saya tidak akan meringkaskan novel di dalam entri ini kerana saya percaya anda perlu membeli sendiri buku ini untuk merasai adrenalin membaca karya sebaik ini. saya hanya akan mengenengahkan perkara-perkara terbaik dan fakta-fakta menarik yang telah diperturunkan di dalam buku seterusnya membawa anda merasakan bahawa tiada ruginya membeli sebuah buku yang banyak mengumpulkan ilmu pengetahuan baru.

apa yang menarik berkenaan novel ini adalah bagaimana Nurul Hafsa ingin menjadikan Kuala Selangor sebagai Kawasan Simpan Langit Gelap pertama di Malaysia dan di Asia Tenggara.semata untuk memudahkan pencerap amatur dan profesional beserta peminat khazanah langit untuk melihat bintang-bintang dengan jelas dan terang. 

bersama Muhammad Taufiq yang juga berkongsi perjuangan yang sama. hanya Muhammad Taufiq berjuang untuk kemandirian spesis kelip-kelip di Kuala Selangor yang semakin pupus juga kerana PENCEMARAN CAHAYA. tertanya mereka tetap berkongsi matlamat dan cita-cita yang serupa.

dalam merealisasikan cita-cita ini banyak perkara harus dilalui dan banyak juga dugaan dan ujian wajib direntangi. pelbagai idea baru diilhamkan untuk menyokong gagasan mereka seperti antara yang menarik perhatian saya adalah dengan menggunakan lampu jenis sodium yang menggunakan tenaga rendah tetapi cahaya yang terang. selain itu, mereka juga mencadangkan penggunaan lampu sensor automatik yang hanya akan menyala pabila ada entiti yang melalui kawasan tersebut.pembiasan cahaya dari lampu ke tanah juga harus dikurangkan untuk mengelakkan banyak cahaya terpantul dari tanah ke langit dan menghasilkan PENCEMARAN CAHAYA.

ini semua adalah fakta baru yang saya belum tahu sebelum ini dan semuanya diperincikan dengan baik di dalam novel ini dengan fakta kukuh dan bersandarkan kajian mendalam. saya seperti merasakan bahawa penulis novel ini adalah ahli astronomi.

dari novel ini saya juga baru mengetahui bahawa kelip-kelip menghasilkan cahaya sendiri menggunakan reaksi kimia yang berlaku di dalam badan. cahaya itu pula didatangkan tanpa haba sedikit pun. dan pabila ia berkelip dalam satu kawanan, cahayanya akan berkelip secara serentak seperti mengikut irama tertentu. sungguh hebat ciptaan Allah dan sehingga kini ia kekal menjadi rahsia agung Yang Maha Pencipta.

konflik pastinya menghiasi novel ini. tanpa konflik yang hebat pastinya membaca buku seperti tiada perenggan dan titik. novel ini didatangkan dengan konflik yang sangat terkesan. pasti ada yang tidak menyenangi usaha perjuangan Nurul Hafsa dan Muhammad Taufiq. mereka ini ibarat menidakkan kekuasaan tuhan semata-mata berpegang kepada ‘matlamat menghalalkan cara’

saya sukakan buku ini dan sila jangan memandang rendah buku ini hanya tulisan saya yang tidak seberapa. buku ini jauh lebih baik dan indah seperti yang saya kabarkan. anda harus memiliki buku ini. ia tidak berat dan mudah difahami. sesuai untuk bacaan pelajar sekolah menengah dan ke atas. eloklah membaca sesuatu yang menambah pengetahuan daripada novel-novel membuai mimpi yang akhirnya hanya jauh daripada kenyataan
sekian.

12 comments:

  1. awak ni penggemar novel..
    suka membaca?

    ReplyDelete
  2. @Alieza Dayasari
    saya memang penggila novel dan sudah tentunya suka membaca

    ReplyDelete
  3. En. Ilham,

    Terima kasih kerana sudi memiliki BM dan memberinya reviu yang begitu positif. Belum terlambat untuk cuba-cuba menulis. Jika ada minat, boleh sahaja!

    Sri Rahayu Mohd Yusop

    ReplyDelete
  4. @srirahayumohdyusop
    terima kasih puan kerana sudi singgah blog ini dan memberi komen berkenaan reviu saya. saya memang minat menulis tapi mengenangkan penulisan saya yang belum seberapa dan ilmu yang belum cukup, minat itu seperti belum berani untuk diketengahkan. BM bagi saya memang buku yang unik dan bagus. ilmu yang disampaikan sangat berlainan daripada buku lain

    tahniah saya ucapkan buat Puan Sri Rahayu

    ReplyDelete
  5. Saya belum sempat lagi membaca Bimasakti Menari. Harap-harap selepas ini ada rezeki.

    ReplyDelete
  6. @Tetamu Istimewa
    Insyaallah, jika sudah ada kesempatan bolehlah berkongsi pendapat saudara juga yer

    ReplyDelete
  7. Adakah anda mempunyai sinopsis setiap bab novel Bima Sakti Menari ini ?

    ReplyDelete
  8. Adakah anda mempunyai sinopsis setiap bab novel Bima Sakti Menari ini ?

    ReplyDelete
  9. Nak nangis rase esk exam tpi still xleh ingat jalan cerita dalam novel bimasakti menari T_T

    ReplyDelete
  10. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  11. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  12. maaf nak tanya teknik plot bagi novel bimasakti menari ada tak.saya amat memerlukannya .terima kasih

    ReplyDelete